Showing posts with label CERPEN. Show all posts
Showing posts with label CERPEN. Show all posts

Korban Adik

|

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.
Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua
kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

"Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.

Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:

"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!." Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat
pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"

"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.

"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.

Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan
kamu, ayah akan lakukan!"

"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

"Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti."

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.....

"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"

"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"

Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata."

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."

"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

"Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."

Apalagi...aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.

"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."

"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.

"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"

Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya...." katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar."

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

Share/Save/Bookmark

Dakwah Berhikmah

|

Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid terpinga-pinga.

“Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar. Adakah sesiapa yang mampu menunaikan hajatku ini?” Tanya sang murabbi pada seluruh muridnya.

Salah seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab, “ Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami,moga kami mampu untuk menunaikannya untuk Tuan Guru”.

Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata “ Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan,adakah sesiapa yang ingin membantuku mengagihkan harta ini?”

“Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk mengagihkan harta ini”jawab Murid tersebut dengan bersemangat.

“Bolehkah Tuan Guru perincikan kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?”seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.

“Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian”Jawab Tuan Guru dengan tenang.

Keadaan menjadi bingit,masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.

“Aku sudah mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini.Kalau begitu tidaklah mengapa.Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya.”Tuan Guru menjawab dengan tenang.

Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan.Salah seorang murid kanan Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut.

Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara’ ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina seperti itu.

“Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku(Nama tuan guru) dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala” Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya tersebut.

Maka sang murid yang mulia ini terus memulakan tugasnya dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.

Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.

“Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin fulan ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian.Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala”.

Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka.Setelah selesai tugasnya, sang murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan nafasnya.

Masing-masing ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selanjutnya setelah peristiwa tersebut.Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah berlaku.Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Tuan Guru.Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin menyampaikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur berkenaan.

Ini merupakah karamah yang Allah taala kurniakan kepada Tuan Guru yang wara’ ini.Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.

Tuan Guru yang saya maksudkan di sini ialah al-Alim al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu taala.Beliau wafat pada 1354 Hijriyah.Beliau digelar “Khatimah al-Huffaz dan al-Muhaddissin”

yang bermaksud penutup kepada para ulama Hadis yang terkemuka.Mula mengarang kitab ketika umurnya belumpun sampai 20 tahun.

Beliau mengajar di Masjid Umawi pelbagai bidang ilmu seperti Nahwu, Sarf, Balaghah, Mantiq, Fiqh dan lain-lain.Menurut Syeikh al-Allamah Mahmud Rashid al-Attar rahimahullah (wafat 1362 Hijriyah), Syeikh Badruddin al-Hasani juga mengajar

kitab Tafsir Baidhawi tanpa melihat kepada kitab dan tanpa memegang apa-apa kertas pun ditangannya. Tafsir tersebut telah dihafalnya dan dikuasainya dengan begitu hebat.

Ketika umur Syeikh al-Allamah Badruddin al-Hasani mencapai 30 tahun beliau mula mengajar Sahih Bukhari di Masjid al-Sadat. Ini juga dilakukan tanpa melihat kitab sedikitpun. Beliau menghafal keseluruhan Sahih Bukhari di dalam dadanya.

Menurut para ulama tidak pernah dilihat seseorang yang begitu alim menyampaikan pengajian dengan keseluruhan bidang ilmu seperti Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah. Ketika mensyarahkan Sahih Bukhari ,
keseluruhan ilmu dibahaskannya termasuklah ilmu perubatan, hikmah-hikmah, falsafah dan lain-lain.

Antara kelebihan Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah juga ialah, semuanya mampu untuk memahami apa yang disampaikannya,bukan hanya para ulama dan penuntut ilmu,

malah para petani dan orang awam yang biasa juga mampu untuk memahami apa yang disampaikan oleh Syeikh al-Murabbi rahimahullah.Ini kerana keikhlasannya yang begitu tinggi ketika menyampaikan pengajian.

Beliau juga digelar Qutb al-Zaman (Wali Allah yang menjadi paksi kepada seluruh para wali ketika itu)dan Mujaddid pada zaman tersebut. Al-Fatihah buat Syeikh al-Allamah al-Muhaddis Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullah.





Share/Save/Bookmark

Download Dalam Mihrab Cinta

|


Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Detik ini, masih lagi berharap kita masih di bawah redha Allah dan kasih sayangNya. Ameen ya rabb.

Nak cerita apa ya? hmm... Ok. Antara filem Indonesia dan Malaysia? Yang mana terbaik? Yang mana lebih menonjolkan nilai-nilai islamik? Yang mana lebih memberi impak kepada kehidupan anda? Terserah kepada anda untuk membuat penilaian?

Aku sudah habis nonton filem yang adaptasi dari novel Dalam Mihrab Cinta tulisan Habiburahman El-Sherazy. Topik ini ada diwar-warkan pada entri sebelum ini. Tapi saat itu, belum tahu apa isi ceritanya.

Syamsul Hadi(Dude Harlino) bertekad menuntut ilmu di sebuah pesantren Al-Furqan (pondok) di Kediri, meninggalkan kehidupannya yang cukup mewah. Dia seorang graduan universiti. Di pondok ini, dia bertemu dengan Zizi (Meyda Sefira) putri pemilik pesantren yang pernah ditolongnya ketika di dalam kereta api, kejadian tersebut membuat mereka lebih rapat.

Sayang sekali, kehidupan di pesantren, tidak seperti apa yang difikirkan Syamsul selama ini. Burhan (Boy Hamzah), teman sekamarnya di pesantren yang selalu berpura-pura baik di depan Syamsul sebenarnya memfitnahnya mencuri.

Tuduhan yang dirancang Burhan kepada Syamsul, membuat dirinya terpaksa menerima hukuman kasar dari semua santri(penuntut) di pesantren hingga babak bersumpah dan dibotakkan habis rambutnya.

Bukan itu saja, Syamsul pula diusir dengan tidak hormat dari pesantren. Bahkan kerana kes itu, Syamsul membawa diri di jalanan kerana keluarganya sendiri tidak percayakan kata-katanya bahawa dia bukanlah pencuri. Oleh kerana kehabisan wang sara diri di luar, dia benar-benar mencuri sehingga ditangkap dan dipenjara.

Di dalam penjara dia bertemu dengan dua penjenayah lain yang memberi kata-kata semangat kepadanya untuk terus nekad kalau mahu mencopet, jangan teragak-agak. Tapi satu sekali atau dua kali sahaja boleh mencuri dalam sehari, jangan lebih,nanti yang ketiga kali akan tertangkap. Itu kata mereka.

Dia dibebaskan oleh adiknya Nadia dengan wang jaminan. Tapi masih kabur(lari) lagi selepas dikeluarkan dari penjara. Kali ini dia benar-benar menjadi pencuri yang sukses. Penumpang bas adalah mangsa-mangsanya. Dia memang ikut kata-kata penjenayah tadi.

Dompet Sylvie (Asmirandah), tunangan Burhan menjadi salah satu mangsanya. Mengetahui hal itu, Syamsul pun memiliki niat untuk membalas perlakuan Burhan dulu saat di pesantren.

Berbekal alamat di kad pengenalan diri Sylvie, Syamsul pun nekad mencari rumahnya. Pertemuan pun terjadi antara Sylvie dan Syamsul.

Adakah Syamsul akan membongkar perilaku Burhan di depan Sylvie? Lantas bagaimana nasib pertunangannya? Atau Syamsul jatuh cinta dengan Sylvie? Bagaimana nasib harapan cinta Zizi pada Syamsul, adakah berbalas? Adakah Syamsul akan terus mencuri atau dia akan insaf? Persoalan ini bisa terjawab kalau anda nonton filemnya di sini.

Ingat ya, ambil yang positif, jangan bahaskan dari segi negatif. Jadikan pengajaran dan iktibar dalam hidup. Jangan hanya suka menonton tanpa memikirkan soal manfaatnya.

Jumpa lagi entri akan datang.

Selamat menonton.



Share/Save/Bookmark

Belajar Inggeris

|

Ada seorang cikgu perempuan yg mengajar B.Inggeris utk thn 1. Dia bagi assignment kat murid2x suruh cari 3 perkataan Inggeris dan kemukakan pada hari isnin nanti.

Ada sorang anak murid cikgu itu pun berjalan balik ke rumah. Dalam perjalanan balik, dia nampak sepasang suami isteri keluar dari kereta dan sedang menjerit antara satu sama lain. Dia terdengar lelaki tu menyergah "Shut up you !!" sampai rumah dia tanya bapa dia, "shut up you tu bhs inggeris ke?" Bapa dia jawab iye. Dapat dah satu perkataan, kata budak tu.

Lepas mandi dan makan, dia tengok tv cerita superman. Masa superman nak terbang dia kata "Superman !!!" ia tanya bapak dia lagi, superman tu bhs inggeris ke..dan bapa dia kata yes. Dua perkataan dah, kata budak itu.

Lepas tengok tv, dia ke perpustakaan. Dia nampak ada seorang lelaki dan seorang perempuan sedang bertengkar berebut buku. Perempuan itu kata "Ladies first"

Balik rumah dia tanya lagi dan bapa dia kata itupun bhs inggeris. Ah, leganya kata budak itu.

Hari Isnin dia ke sekolah, cikgu tanya dia tentang perkataan baru.

Cikgu : OK boy, did you get the words?

Budak: Yes, teacher.

Cikgu: Good, what is your first word?

Budak : Shut up you !!!

Cikgu: What did you say? Are you mad? Who do you think you are?

Budak: Superman !!!

Cikgu : Bloody fool! Get out from this class

Budak: Ladies First ...hehehhe....

Hanya hiburan semata-mata.


Share/Save/Bookmark

Salah Tafsir

|

Suatu pagi yang indah kat sebuah sekolah rendah, seorang guru yang
begitu dedikasi mengajar anak2 muridnya tentang betapa bahayanya
minuman keras kepada mereka. Sebelum memulakan mata pelajarannya pada hari
itu dia telah mengambil 2 ekor cacing yang hidup, sebagai sampel kehidupan
dan dua gelas minuman yang masing2 berisi dengan air mineral dan arak..

"Cuba perhatikan murid2.. lihat bagaimana saya akan memasukkan cacing ini
ke dalam gelas, perhatikan betul2. Cacing yang sebelah kanan saya, akan saya
masukkan ke dalam air mineral manakala cacing yang sebelah kiri saya akan
masukkan ke dalam arak. Perhatikan betul2."

Semua mata tertumpu pada kedua2 ekor cacing itu.

Seperti dijangkakan, cacing yang berada dalam gelas yang berisi air mineral
itu berenang2 di dasar gelas, manakala cacing yang berada di dalam arak
menggeletek lalu mati. Si cikgu tersenyum lebar, apabila melihat anak2
muridnya memberikan sepenuh tumpuan pada ujikajinya.

"Baiklah murid2, apa yang kamu dapat belajar dari ujikaji yang cikgu
tunjukkan sebentar tadi??"

Dengan penuh yakin anak2 muridnya menjawab,

UNTUK MENGELAKKAN KECACINGAN...MINUMLAH ARAK... 
*cerita ini adalah rekaan semata-mata sebagai hiburan sahaja*



Share/Save/Bookmark

Kejadian Seram di Wad ICU

|

Tension2 tgh study ni, jom kita layan cite ni dulu...

Salah sebuah katil di dalam bilik ICU sebuah hospital ternama kerap mengalami kejadian pelik.. Setiap pesakit yang ditempatkan disitu pasti akan meninggal pada satiap hari Jumaat pagi tanpa mengira umur, jantina atau tahap kesihatan mereka.. Perkara ini sangat membingungkan para doktor... Lalu para doktor memutuskan untuk memantau katil tersebut...

Apabila tiba hari Jumaat yang berikutnya... beberapa doktor bersiap sedia untuk mengenal pasti penyebab kepada kematian di katil tersebut. Seorang pesakit lelaki sedang tidur di katil misteri.

Masa berputar... pukul 08:00am.. 08:30am sehingga jam 9.00 am... tiba-tiba...... Pintu bilik ICU itu terbuka.... Kemudian masuklah Makcik Bedah.... Seorang pekerja sambilan sebagai pencuci yang hanya bertugas setiap hari jumaat.. Masuk... mendekati katil keramat tersebut... dan terus mencabut soket elektrik untuk alat bantuan pernafasan pesakit tersebut dan menggantikannya dengan 'plug vacum cleaner'nya...


Share/Save/Bookmark

RUMPUT DAN ORANG YANG DISAYANGI

|

Pada suatu pagi di satu sekolah menengah, ada seorang pelajar bertanya pada seorang guru yang sedang mengajar. Ketika itu, guru tersebut sedang menyentuh mengenai kasih dan sayang secara am. Dialog di antara pelajar dan guru tersebut berbunyi begini :

Pelajar : Cikgu, macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang paling kita sayang?. Macam mana juga kasih sayang itu nak berkekalan?

Cikgu : Oh, awak nak tahu ke?.Emmm...baiklah, sekarang kamu buat apa yang saya suruh. Ikut je ye...mungkin kamu akan dapat apa jawapannya.

Pelajar : Baiklah...apa yang saya harus buat?

Cikgu : Kamu pergi ke padang sekolah yang berada di luar kelas sekarang juga. Kamu berjalan di atas rumput di situ dan sambil memandang rumput di depan kamu, pilih mana yang PALING cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Dan kamu petiklah rumput yang PALING cantik yang berada di depan kamu tersebut dan selepas itu bawa balik ke kelas.

Pelajar : Ok. Saya pergi sekarang dan buat apa yang cikgu suruh.

Apabila pelajar tersebut balik semula ke kelas, tiada pun rumput yang berada di tangannya. Maka cikgu pun bertanya kepada pelajar tersebut.

Cikgu : Mana rumput yang cikgu suruh petik?

Pelajar : Oh, tadi saya berjalan di atas rumput dan sambil memandang rumput yang berada di situ, saya carilah rumput yang paling cantik. Memang ada banyak yang cantik tapi cikgu kata petik yang paling cantik maka saya pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang , saya tak jumpa pun yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang saya sebelum itu tapi dah cikgu cakap tak boleh menoleh ke belakang semula, jadi tiadalah rumput yang saya boleh petik.

Cikgu : Ya, itulah jawapannya. Maknanya, apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita hendak mencari lagi yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaik-baiknya. Janganlah kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Dan semoga yang berlalu tidak lagi berulang. Jika kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang itu, kita boleh perbetulkan keadaan dan cuba teruskan perhubungan tersebut walaupun banyak perkara yang menggugat perhubungan tersebut. Dan ingatlah orang yang kita sayang itulah kita jumpa paling cantik dan paling baik pada MULAnya walaupun nak ikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi. KECUALILAH jika perhubungan tersebut tak boleh diselamatkan lagi, maka barulah kita mulakan sekali lagi. Maka sayangilah orang yang berada di depan kita dengan tulus dan ikhlas.


Share/Save/Bookmark

Pisang dan Hati

|

Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci. Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik berisi pisang masing-masing. 

Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci. "Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam.Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg. 

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk. Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa."Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Mayam.

Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk."Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam.

Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik daripada membenci..!!


*Kepada guru-guru, anda boleh mencuba untuk murid-murid anda kalau tak keberatan dan membebankan. Harapan cerita ini menjadi iktibar kepada kita semua, bukan sahaja kepada golongan kanak-kanak, malahan kepada kita yang bergelar dewasa.

Wallahu'alam.


Share/Save/Bookmark

Kisah penjual `Tempe'

|


Kisahnya di sebuah desa di Jawa Tengah, ada sorang ibu yg kerjanya menjual tempe di pasar setiap hari. Pekerjaannya menjual tempe ini adalah merupakan satu2nya sumber pendapatannya utk menyara hidup.

Pada satu pagi, macam biasa, dia tgh bersiap2 nak pergi jual tempe. Tapi tetiba dia tersedar yg tempenya yg dibuat drpd kacang kedele (menurut bahasa Indonesia) hari tu masih belum menjadi iaitu baru separuh jadi. Dia pun berasa amatlah sedih sebab tempe yg masih belum menjadi pastinya tak laku dan ini bermaksud dia takkan dpt wang utk hari tu.

Tengah dia bersedih tu, tetiba dia teringat akan firman Tuhan yg menyatakan Tuhan dpt melakukan perkara2 ajaib kerana tiada yg mustahil bg Tuhan. Lalu dia pun mengangkat kedua tgnnya sambil berdoa "Ya Tuhan, aku mohon kepadaMu agar kedele ini menjadi tempe. Amin?." Begitulah doa singkatnya yg dipanjatkan dgn sepenuh hatinya. Dia sangat yakin yg Tuhan pasti mengabulkan doanya.

Dgn tenang dia pun menekan2 bungkusan bakal tempe tuh dgn hujung jarinya dan dia pun bukak sikit bungkusan tu utk menyaksikan keajaiban kedele itu menjadi tempe. Tapi dia kaget seketika sebab kedele tu masih tetap kedele. Namun dia tak kecewa, sebaliknya dia fikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan.

Kemudian dia mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Tuhan, aku tahu bahawa tiada yg mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dpt menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadilah ini tempe, Amin". Dengan penuh harapan dan debaran dia pun skali lagi bukak sikit bungkusan tu.

Apa yang terjadi????????...Dengan kaget dia melihat kacang kedele tersebut??????....masih tetap begitu !!!!!!!

Sementara tu hari pun semakin siang dan tentunya pasar dah semakin ramai org. Si ibu ni tetap tak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Bagaimanapun kerana keyakinannya yg sgt tinggi dia bercadang utk tetap pegi ke pasar membawa barang dagangannya tu. Dia berpikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi masa perjalanannya ke pasar. Lalu dia pun bersiap2 untuk berangkat ke pasar. Semua keperluannya untuk menjual tempe macam biasanya dah disiapkan.

Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah ini tempe. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tak lupa baca doa dalam hati.

Tak lama lepas tu dia pun sampailah di pasar. Dan macam biasanya dia pun ambik tempat untuk meletakkan barang dagangannya. Dia betul2 yakin yg tempenya sekarang mesti dah menjadi. Lalu dgn hati yg berdebar-debar dia pun bukak bakulnya dan menekan2 dgn jarinya setiap bungkusan yg ada. Pelan2 dia bukak sikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Lalu apa yang terjadi saudara-saudari??????????......tenyata tempenya benar-benar?????????????????....belum menjadi!!!!!!!!!

Si Ibu ni pun terkesima seketika, dia tarik nafas dalam-dalam. Dia sudah mula kecewa pada Tuhan kerana doanya tak dikabulkan. Dia merasa Tuhan tak adil. Tuhan tak kesian padanya sedangkan dia hidup cuma dgn hasil jualan tempe je. Seterusnya, dia cuma duduk diam tanpa mempamerkan barang dagangannya sebab dia tau yg mana ada org nak beli tempe yg baru separuh jadi tu.

Sementara tuh hari pun semakin petang dan pasar dah mulai sepi dengan pembeli. Dia tengok member2 yg sesama penjual tempe, tempe mereka dah hampir habis nak dijual. Dia tertunduk lesu seperti tak sanggup menghadapi kenyataan hidupnya hari itu. Dia pun termenung dgn rasa yg teramat kecewa. Dia tau yg hari tu dia takkan dpt pendapatan langsung.

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Bu...?! "Maaf ya bu, saya mau nanya. Apakah ibu ada menjual tempe yang belum jadi? Dari tadi saya sudah keliling pasar mencarinya tapi masih belum ketemu." Seketika si ibu tadi terkesima lagi. Dia kaget. Sebelum dia menjawab sapaan wanita kat depannya tu, dalam hati cepat2 dia berdoa "Ya Tuhan, saat ini aku tak mahu tempe lagi. Biarlah daganganku ini tetap seperti semula, Amin".

Tapi lepas tu, dia masih tak berani lagi nak jawab kat wanita tu. Dia fikir ntah2 masa dia tgh duduk2 termenung tadi, tempenya dah menjadi. Jadi masa tu dia dalam keadaan ragu2 lagi nak jawab. "Mcamana nih?" Dia pikir. "Kalau aku kata ya, jangan2 tempe ni dah jadi, siapa tau mukjizat Tuhan?"

Lalu dia pun kembali berdoa dalam hatinya, "Ya, Tuhan, biarlah tempeku ini tak usah jadi tempe lagi. Dah ada org yg nak beli. Ya Tuhan tolonglah aku kali ini. Dengarlah doaku ini?" ucapnya berkali-kali.

Sebelum dia menjawab wanita itu, dia pun bukak sikit daun penutupnya. Lalu apa yang dilihatnya saudara-saudari????????????....Ternyata memang benar tempenya ?????????????.....belum jadi!!!!!!!!! Dia pun bersorak riang gembira dalam hatinya. "Alhamdulillah", ucapnya. Dipendekkan cerita, wanita tu pun memborong habis semua tempenya yg belum menjadi tu. Sebelum wanita tu pergi, si ibu ni sempat jugak tanya wanita tu kenapa nak beli tempe yg belum jadi. Rupa2nya, wanita tu kata yg anaknya di England kepingin tempe dari desa. Memandangkan tempenya tu nak dikirimkan ke England, dia kenalah beli yg belum jadi lagi supaya bila sampai di England nanti dah menjadi. Kalau kirim tempe yg dah jadi, nanti di sana tempe tu dah tak elok lagi dan rasanya pun dah kurang sedap.

Begitulah kisahnya.TAMAT.

Moral of the story?.

1. Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Allah sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yg terbaik utk kita.
2. Sentiasalah berdoa dlm menjalani kehidupan seharian kita sbg hambaNya yg lemah. Dan jgn sekali-kali berputus asa terhadap apa yg dipinta. Percayalah bahawa Allah akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yg mungkin di luar jangkaan kita. Hanya kpdNya lah kita memohon & bertawakkal.
3. Mari makan tempe utk kesihatan dan kecergasan....tak percaya tanya org2 Jawa.



Share/Save/Bookmark

Soleh dan Solehah

|


Usai berdoa seperti kelaziman, dia meraup wajahnya. Sunat selepas maghrib menjadi penutup ibadah senjanya lewat petang itu. Hajat memang ada untuk sama-sama meraih pahala berganda di masjid, namun keletihan diri terlebih dahulu merantai keinginan mulia itu. Serik rasanya beradu kekuatan di padang bola bersama dengan orang Arab. Ganas, agresif dan kasar. Semuanya bersatu dan berpadu dan membuahkan natijah yang kurang menyenangkannya. Tersungkur jugak dia dibentes lawan. Tangannya mencapai minyak habbatussauda’ untuk disapukan pada bahagian yang sudah nampak lebam biru kehitaman. Kakinya hampir saja kejang.

Aduh! Dia mengeluh. Matanya terpaku pada penanda buku unik yang terselit malu pada Tafsir Quran. Jamahan matanya menyatakan dalam kiasan nurani penanda buku itu unik rekaannya. Seunik bicara dan hujah pemberi “book mark” itu. Kemas dengan kesan “liminate”, berukuran comel 30cm panjang kali 5cm lebar. Kalimah bertinta ungu itu menarik perhatiannya malah tersemat utuh di hatinya. Terkesan siapa yang membaca hikmah puitis itu. 

“Layakkah kita untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta kita pada Pencipta manusia itu masih belum mantap. Tepuklah dada tanyalah iman.”

Semusim percutianku sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk ini, sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam pada hatiku. Alasan yang aku kemukakan semata-mata untuk mengelak apabila Tok Ayah persoalkan tentang jodoh ternyata membuahkan satu mutiara kenangan. Kenangan yang menautkan dua hati melalui penyatuan idea mengenai CALON SOLEHAH.

“Mencari seorang calon isteri yang solehah bolehlah kita umpamakan sebagai mencari gagak putih. Semakin ia bernilai maka lazimnya semakin susah untuk kita dapatkan. Agaknya inilah penyebab ramainya anak muda yang masih mencari-cari jodoh sedangkan umur semakin meningkat…lewat menunaikan seru,” 
“ Hafiz, kamu tidak mahu berkahwin ke?” eh, tiba-tiba pula Tok Ayah mengutarakan soalan cepu mas ini. Pengajian memang sudah tamat namun hajat di hati ingin menyambung ke peringkat sarjana masih segar. 

“Bukan tak berkeinginan Tok Ayah tapi..hajat nak mencari yang solehah. Biar dunia tidak berat sebelah,” harap-harap inilah alasan yang agak kukuh. “Nak cari yang benar-benar solehah, bukanlah satu usaha yang mudah. Nak yang solat di awal waktu, hormati ibu dan ayah, pandai mengaji Quran, menutup aurat..ish, banyak sungguh ciri-ciri kamu Hafiz..alamat, sampai Tok Ayah berumah kat batu dua lah baru sampai hajat..” 
“ Susahlah Tok Ayah…yang sipi-sipi ada lah jugak jumpa…”sempat juga aku melontarkan idea spontan aku. Tok Ayah hanya menggeleng. 

Pertemuan dengan Raihanah berlaku secara tidak sengaja, ketika bersama-sama Tok Ayah singgah ke warung pagi itu. Suka benar Tok Ayah dengan nasi lemak air tangan ibu saudara Raihanah. Dia kurang mengenali siapa Raihanah. Malah daripada cerita ibu saudaranya itu Raihanah adalah anak abangnya yang tinggal di Kedah. Tamat pengajian gadis itu bermastautin sementara di kampungnya. manis tapi jarang tersenyum. Kulit asianya terlindung di sebalik baju t-shirt labuh paras lutut dan bertangan panjang itu, dengan tudung turki bercorak flora. Tiada yang istimewa sangat! Namun peristiwa malam itu di surau ternyata membuktikan bahawa gadis itu bukanlah sebarangan gadis. Mempunyai daya tarikan pada yang tahu menilai mutiara wangian syurga ini.

“calon isteri yang solehah…orang lelaki nak yang solehah sahaja, tapi kadangkala diri sendiri dia tak check betul-betul,” ngomel seorang gadis ketika perbincangan ilmiah pada malam itu apabila Tok Ayah menyatakan mengenai topic tersebut. Aku sekadar tersenyum. Kelaziman kuliah maghrib lebih berbentuk ilmiah untuk menarik golongan muda bersama-sama meluahkan pendapat. Mendengar kata-kata gadis itu aku tersenyum sendirian. 
“Raihanah ada sebarang pendapat?” soal tok ayah apabila gadis bertelekung putih itu hanya sekadar menjadi pemerhati debat tidak formal itu. 
“sekadar pendapat tok ayah…jika kita nak bakal zaujah kita seorang yang solehah, yang bertaqwa saya ada satu tips,”riuh seketika. 

“sebelum kita kaji dan telek bakal isteri kita paling afdal kita telek diri kita dulu. Teropong dulu takat mana iman dan taqwa kita,” aku sedikit terkelu. 
Macamana agaknya? Namun persoalan itu hanya berlegar-legar di fikiran kosong aku, tidak terluah. 

“nak dapat bakal isteri yang solehah, paling penting syarat utamanya solehkan dulu diri anda. Di sinilah dapat kita kaitkan konsep bakal isteri yang solehah untuk bakal suami yang soleh. tabur ciri-ciri suami soleh dalam diri. Siramkan sahsiah mulia dengan sifat mahmudah lelaki soleh. Aku mengangguk tanda setuju dengan pendapat bernas itu.
“tapi, ada jaminan ke kita akan mendapat bakal isteri yang solehah?” ada qariah muda berani untuk mengutarakan soalan. 

“Bergantung pada diri kita sebenarnya. Suburnya ciri-ciri lelaki soleh pada diri kita insyaAllah akan meningkatkan iman dan taqwa kita. Semakin cerahlah peluang untuk kita mendapat calon yang solehah. Jodoh adalah kerja Allah. Ingatlah jaminan Allah dalam surah Nisa’ bahawa lelaki yang soleh telah ditetapkan akan dipertemukan dengan perempuan yang solehah. Lelaki yang mukmin untuk perempuan yang mukminat.” 

Raihanah melepas lelah barangkali. Lalu dia tersenyum. “ teruskan usaha mencari calon yang solehah. Tapi, dalam masa yang sama tingkatkan nilai kesolehan anda. Inilah strategi serampang dua mata, macam DEB. Cuma satu nasihat saya, jangan letakkan syarat bakal zaujah itu terlalu tinggi,” 
“Kenapa pulak?” Tanya Tok Ayah. Eh, Tok ayah pun mengambil bahagian juga? 
“bukankah hakikat sebuah perkahwinan adalah saling melengkapi. insyaAllah jika ada yang kurang pada bakal zaujah, tampunglah selepas perkahwinan tersebut. Hal iman dan taqwa janganlah diambil remeh. Jangan nak berlebih dan berkurang dalam hal mencari pasangan kita. Mengambil kata-kata daripada laman Kemudi hati dalam Anis, kebanyakan lelaki menilai dan meletakkan piawaian yang tinggi untuk bakal zaujahnya tetapi merendahkan piawaian itu untuk dirinya…itu adalah silap tafsir.” 

Alhamdulillah, sekarang terbuka sudah pemikiran ruang lingkup. Aku tersenyum. Terima kasih Raihanah. Tok Ayah juga tersenyum. Ada hikmah di sebalik semua ini.
“hafiz, ada surat untuk anta daripada Malaysia…”kenyitan mata Syahid sewaktu menyerahkan surat bersampul ungu itu diikuti dengan gelak tawa rafiknya yang lain mematikan lamunannya. 

Senyuman yang berbunga di bibir Syahid seolah-olah memberitahunya bahawa warkah itu sudah pastinya daripada tunangannya, Raihanah.. calon pilihan Tok Ayah, dan juga hatinya yang kini sedang meneruskan pengajian peringkat sarjana Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Alhamdulillah, gadis inilah yang telah menemukannya titik noktah pencarian calon solehah.

Syukur Ya Allah.
Source : ukhwah.com



Share/Save/Bookmark

Laskar Pelangi

|



Pulau Belitong

SD Muhammadiyah

Assalamualaikum wbt.

Ingin sekali berkongsi cerita tentang sebuah filem yang diterbitkan 25 September 2008 di Indonesia sana. Sedih, gusar, kecewa, sebak, hibur adalah perasaan yang dapat dihayati apabila menonton filem ini. Saat di tengah malam orang lain sedang sibuk berdengkur, saya bisa menghabiskan nonton sebuah filem 2 jam masanya. Kerana kesedapan dan keenakan gaya cerita amat menarik hati untuk terus dan terus menontonnya sehingga habis dipenghujung. Diadaptasi dari sebuah novel best seller di Indonesia sana tahun 2006 dan 2007. Andrea Hirata Seman Said Harun novelisnya Laskar Pelangi. Anak kelahiran Pulau Belitong, Indonesia. Tempat berlakunya shooting filem ini. Kisahnya semacam kisah benar. Tetapi ia memang benar berlaku kalau diselidiki di internet. Ikuti sinopsis ini.

Kisahnya bermula di sebuah desa Gantong, Belitung Timur pada tahun 1974. Bermula di sebuah sekolah yang uzur lagi dhaif. Dilihat seperti sudah mahu rebah ke bumi, tetapi masih kukuh ditampan dengan 2 batang kayu. SD Muhammadiyah namanya yang menerapkan nilai-nilai murni, keislaman, ketekunan dan tanpa menyerah kalah. Terancam oleh Departmen Pendidikan Nasional Republik Indonesia (Depdikbud) jikalau tidak mencapai 10 orang pelajar pada hari pendaftaran, makanya mesti dibubar sekolah itu. Saat itu baru 9 orang pelajar, ketika kepala sekolah mahu mengumumkan penutupan sekolah, datang seorang anak orang kurang upaya menyelamatkan bagi mencukupi 10 orang dengan 3 orang tenaga pengajar termasuklah kepala sekolah. Tetapi akhirnya tinggal keseorangan guru lakonan Cut Mini(Bu Muslimah) kerana kematian Pak Harfan dan seorang lagi guru yang mendapat kerja ditempat kerja lain.

Disekolah inilah berlakunya seribu satu kisah, pengalaman cinta pertama Ikal dengan Ah Leng anak tauke kedai, penemuan bakat muzik Mahar, kebodohan ketua kelas Borek, kecerdikan Lintang yang mengayuh basikal tua dari rumah pergi dan balik bersaksikan buaya mempertaruhkan nyawa demi untuk belajar. Mereka diberi nama Laskar Pelangi oleh Bu Muslimah seorang  guru yang tabah atas kesenangan mereka dengan pelangi yang selalu muncul di Pulau Belitong.

Pencapaian demi pencapaian kumpulan Laskar Pelangi ini meraih kemenangan di pertandingan peringkat antara sekolah bersama dengan sekolah-sekolah moden bantuan kerajaan yang lain. Lintang yang genius mengalahkan seorang guru berpendidikan ijazah dalam pertandingan kuiz. Mahar yang selalu diperkotak-katikkan teman-temannya membuktikan dia berjaya mengetuai dalam pertandingan perbarisan. Segalanya bertitik tolakkan semangat yang diterapkan oleh guru-guru mereka. Pak Harfan kepala sekolah selalu berpesan kepada mereka, jangan menyerah kalah, hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya. Kehidupan mereka ada gelak tawa, sedih hiba, riang ceria. Kisah dipenghujung dengan kematian ayah Lintang di laut yang memaksa dia berhenti sekolah kerana terpaksa menanggung kehidupan adik-adiknya kerana ketiadaan kedua orang tua. Akhir cerita Ikal pulang ke kampung bertemu dengan Lintang dan menceritakan dia ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke Paris. Kisah indah ini dikocak dengan berbagai perasaan oleh Andrea Hirata yang menunjukkan kecekalan 10 anak kecil Laskar Pelangi ini mengharungi kehidupan.  

Moral cerita ini, setiap kesusahan akan ada kejayaan. Jangan pantang menyerah kalah sebelum berusaha. Kemodenan tidak semestinya akan membawa kejayaan, kadang-kadang lebih kepada kehancuran. 


Share/Save/Bookmark

Kelahiran dan Kematian

|

Seorang ayah berjalan mundar-mandir di lorong hospital, gelisah akan keadaan isterinya yang akan melahirkan anak sulung mereka. Setelah beberapa jam dia menunggu, tak juga terdengar tangisan bayi.

Tiba-tiba, seorang doktor berjalan tergopoh-gapah keluar dari bilik persalinan menuju kearahnya. "Bagaimana keadaannya doktor?" tanyanya penuh harap. "Maaf encik , kami sudah berusaha, keadaannya amat kritikal si ibu sudah tak sedarkan diri!" jawab doktor itu. "Jadi bagaimana doktor ... ?" "Kami tak mungkin dan berupaya untuk menyelamatkan keduanya, tapi... masih ada harapan.

Kami hanya punya satu pilihan, menyelamatkan si ibu, atau menyelamatkan si bayi. Lelaki tersebut kebingungan, dan tak dapat berkata-kata... ... . "Maaf encik, setiap saat amat berharga, tolong cepat untuk membuat pilihan!" desak doktor itu. Akhirnya, dengan berat hati lelaki itupun berkata dengan nada sayu, "Doktor, saya sangat bingung... Saya serahkan sepenuhnya kepada doktor.

Tolong lakukan yang terbaik!" pintanya. Doktor pun bergegas kembali ke bilik persalinan. Nampaknya dia sudah berpengalaman menangani masalah darurat atau kritikal seperti ini. Dan dia tahu apa yang harus dilakukannya. Ini adalah salah satu contoh, bagaimana keyakinan beragama boleh mempengaruhi keputusan disaat genting. Seorang doktor beragama kristian/katolik, ia akan berusaha menyelamatkan si anak, dan mengorbankan si ibu.

Bagi doktor muslim, ia akan berusaha menyelamatkan si ibu, dan mengorbankan si bayi. Memang benar, kedua-duanya adalah pilihan yang sukar, tapi itulah jalan terakhir dan muktamad. Mengapa ia boleh berlaku seperti demikian? Dalam ajaran kristian, setiap manusia yang lahir sudah membawa dosa, doktrin ini dikenal dengan "dosa waris" atau "dosa asal".

Manusia yang lahir sudah menanggung dosa Nabi Adam dan Hawa untuk menebusnya ia harus mengikuti seorang penyelamat iaitu penebus dosa. (Ketua Paderi atau Pope). Doktor Kristian itu akan berjuang sedaya upaya untuk menyelamatkan si anak, agar dia dapat lahir dengan sihat dan selamat walaupun sebaliknya terpaksa mengorbankan si ibu. Doktor berharap, setelah anak itu lahir ia akan mendapat kesempatan untuk dibaptiskan, untuk tujuan menebus dosanya. Jika si anak meninggal sebelum dibaptiskan, anak itu akan masuk neraka. Sebab, dosanya belum sempat ditebus.

Dalam ajaran Islam, setiap manusia yang lahir dalam keadaan fitrah/suci. Doktor muslim akan berjuang menyelamatkan si ibu, kerana dia tidak bimbang yang bayi akan masuk neraka. Dengan terselamatkannya si Ibu, insyaAllah setelah sihat kembali akan dikurniakan kekuatan untuk hamil lagi dan mudah-mudahan mendapatkan ganti yang lebih baik, yang lebih soleh. Sedangkan anak yang tak sempat diselamatkan, biarlah ia kembali ke Penciptanya dalam keadaan suci.

Mungkin lebih baik sekiranya bayi itu tidak dilahirkan di dunia yang penuh tipu daya ini agar hidupnya kelak tidak menjadi orang yang tersesat. Demikianlah, dalam keadaan serba salah lelaki tadi tak sempat untuk memastikan agama doktor tadi. Dan dia sudah berserah sepenuhnya kepada doktor itu.

Di dunia ini ada banyak agama dan kepercayaan. Kita akan sering dihadapkan pada pilihan-pilihan yang lebih sukar, dan melibatkan akibat atau natijah yang sangat ditakuti. Kisah di atas adalah salah satu daripada contohnya.

Beruntunglah orang yang selalu diberi jalan untuk mencari Ilmu yang bermanfaat, yang selalu dijadikan pedoman dalam mengambil keputusan dari banyak pilihan yang ada. Kepada kaum muslimin dan muslimat, teruslah mengkaji ilmu-ilmu agama, mudah-mudahan pengetahuan yang kita peroleh akan semakin memantapkan kita dalam menyelesaikan sesuatu masalah, dan semoga akan lebih mendekatkan kita kepada Allah SWT. Wallahualam bissawab. Wassalam


Share/Save/Bookmark

My Songs

Related Posts with Thumbnails

Followers