Hukum Menderma Darah Bulan Ramadhan

|

Hari khamis yang lepas adalah hari pembentangan assignment saya. Fikiran melayang, hati agak berdebar. Alhamdulillah baik-baik sahaja. Tajuknya dah lama diberi oleh Prof. sejak awal semester dulu. Tetapi sifat yang suka menangguh kerja itulah yang menyebabkan keadaan hati kita agak berdebar oleh kerana kurang persediaan. Apa tajuknya? dah tulis kat entri title tu.

Hukum Menderma Darah Bulan Ramadhan.

Mungkin di kalangan kita kurang tahu mengenainya. Allah memberi kesempatan untuk mengkaji hukum ini. Sukalah saya di sini untuk berkongsi dengan pembaca supaya ilmu Allah itu tidak menjadi sempit dan akan tersebar meluas.

Pada hakikatnya isu ini adalah isu terkini. Sama sekali tidak wujud di zaman Rasulallah, zaman sahabat, mahupun di zaman tabie' dan tabie' tabien. Bahkan juga pada zaman Imam yang empat. Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Tidak mungkin kita memperolehi hukum ini dari zaman mereka kerana masih tidak wujud masalah ini. Saya akan cuba ringkaskan syarahnya supaya senang untuk difahami.

Isu ini kurang diperdebatkan oleh ulama muaasirin (kontemporari), rujukan yang saya sempat jumpa hanyalah kitab Ahkam Assiyam tulisan Syiekh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin rahimahullah ulama dari Arab Saudi. Mungkin terdapat rujukan lain yang saya terlepas pandang. Apa sekali pun syarah dari syiekh ini cukup jelas mengenai isu ini. Kitab ini sebenarnya adalah soalan-soalan atau kemusykilan masyarakat yang berkisar mengenai puasa dan ianya dijawab oleh syiekh dan dibukukan menjadi tajuk kitabnya Ahkam Assiyam.

Telah dibahagikan hukumnya kepada dua iaitu hukum puasa bagi orang yang menderma darah dan hukum menderma darah itu sendiri. Adakah dibolehkan atau tidak.

Apakah hukum puasa bagi orang yang menderma darah?

1. Seseorang yang ingin menderma darah kepada yang memerlukan, ataupun darahnya diambil untuk dibuat kajian penyakit maka hukum puasanya tidak batal sama sekali, tetapi dengan syarat kuantiti yang sedikit.

2. Seseorang yang ingin menderma darah dengan kuantiti yang banyak, dan menyebabkan badan penderma menjadi lemah, maka puasanya terbatal. Jika menderma kerana darurat contohnya seseorang memerlukan darah maka puasa itu turut terbatal tetapi tidak berdosa ke atas penderma dan wajib qada puasanya. Tetapi jika seseorang menderma darah tanpa darurat atau sebab yang munasabah maka terbatal puasanya dan berdosa serta wajib juga menqadakan puasanya.

Apakah hukum menderma darah?

1. Jika kemusykilan ini dikhususkan kepada siang hari pada bulan Ramadhan, maka tidak dibolehkan seseorang menderma darah dengan kuantiti yang banyak yang menyebabkan badan seseorang penderma menjadi lemah kecuali dalam keadaan darurat sahaja dibolehkan seperti yang disebutkan di atas.

Apakah dalilnya?

Kaedah yang diguna pakai oleh fuqaha ialah menggunakan kaedah Qiyas. Fuqaha menqiyaskan hadis:

عن النبي صلى الله عليه وسلم في قوله : أفطر الحاجم والمحجوم
Maksudnya: Dari nabi SAW: Batal puasa bagi pembekam dan dibekam.


Para fuqaha menQiyaskan menderma darah itu seperti mengeluarkan darah dari badan iaitu berbekam. Berbekam akan melemahkan badan seseorang yang dibekam. Jadi, seperti yang disebutkan sebelum ini apabila seseorang menderma darah yang boleh menyebabkan badan menjadi lemah, maka batallah puasa seseorang itu.

Sekian, terima kasih kepada pembaca.






Share/Save/Bookmark

Lawatan ke Yayasan Restu dan Balai Seni Lukis Negara

|

Kakak tu tgh lukis zukhruf


14 Mac yang lepas, kelas khat saya semester ini sempat meluangkan masa mengadakan lawatan sambil belajar ke Yayasan Restu dan Balai Seni Lukis Negara. Yayasan restu adalah sebuah pusat yang menghasilkan mushaf Malaysia. Kami ditontonkan dengan video sejarah penghasilan mushaf mungkin sejak zaman tabien hingga terhasilnya sebuah al-quran yang dilengkapi dengan titik, baris, zukhruf dan sebagainya. Mushaf Malaysia merupakan tulisan tangan 100 peratus yang dihasilkan oleh Yayasan Restu. Yayasan ini bukan sahaja pusat kesenian kaligafi islam, malah menjadi pusat pengajian bagi yang berminat menceburi dalam bidang penulisan khat yang menawarkan pengajian peringkat diploma. Di sini terdapat beberapa buah galeri yang memperlihatkan hasil-hasil seni khat dari seluruh dunia. Malahan yang menakjubkan orang bukan Islam juga cukup pakar dalam penulisan khat.

Kalau diamati gambar kanak2 tu seperti realiti, tp hakikatnya lukisan semata2.
Lukisan orang tua duduk tu sekali dengan Zawawi posing, dia tak tau ada CCTV.huhu



Ini hasil tulisan orang Jepun Taiko Yushiharo.

Seterusnya ke Balai Seni Lukis Negara yang terletak di Jalan Tun Abdul Razak. Di sini juga memaparkan hasil-hasil lukisan tangan dan terdapat juga hasil tulisan khat. Lukisan yang terbaru mengenai palestin. Untuk pengetahuan bersama, setakat ini lukisan yang termahal yang wujud di Balai Seni ini mencecah RM200,000.00. Kalau sekilas pandang seperti tidak masuk akal, tetapi mungkin bagi orang seni mereka tahu menilai penghasilan sesebuah seni itu. Lukisan-lukisan di sini cukup menarik seakan-akan gambar realiti maksudnya bukan dilukis menggunakan tangan manusia. Itu yang menakjubkan saya, anugerah Allah itu cukup tidak terhingga kepada hamba-hambaNya. Seharusnya digunakan dengan sebaiknya ke arah hala tuju yang benar. Sekadar itu dahulu cerita untuk kali ini. Wallahu Taala 'Alam.

Inilah lukisan yang berharga RM200,000.00 ringgit tunai malaysia...tak percaya kan?



Share/Save/Bookmark

Tentera Allah (nyamuk)

|

Namrud mempunyai tentera sebanyak 700,000 penunggang kuda dengan senjata yang lengkap. Dia dengan megah dan sombongnya berkata kepada nabi Ibrahim : “Hai Ibrahim, jika tuhanmu mempunyai malaikat, kirimlah kepadaku untuk berperang denganku. Jika sanggup (kuat) rampaslah kerajaanku ini”

Nabi Ibrahim pun bermunajat kepada Allah dan berkata : “Ya Illahi, sesungguhnya Namrud dan tenteranya menunggu kedatangan tenteramu, maka kirimlah kepada mereka selemah-lemah makhlukmu iaitu nyamuk”

Ketika tentera Namrud berkumpul di padang yang luas, Allah memerintahkan nyamuk keluar dari lautan. Maka keluarlah nyamuk hingga menutupi permukaan bumi dan langit. Kemudian nyamuk berkata : “Wahai Tuhan kami, apakah yang harus kami laksanakan ?” Allah SWT berfirman : “Aku telah menjadikan rezeki kamu semua pada hari ini berbentuk daging tentera Namruz”

Allah telah memberi kekuatan kepada nyamuk, lalu ia menyerang dan menghisap darah-darah mereka. Allah memerintahkan menunda penyiksaan ke atas Namruz supaya ia dapat melihat kemusnahan tenteranya oleh tentera Allah. Maka nyamuk-nyamuk itu membiarkan Namruz sehingga ia dapat pulang ke istananya.

Nabi Ibrahim AS merasa hairan dan takjub melihat peristiwa tersebut. Kemudian Allah berfirman : “Wahai Ibrahim, demi kemuliaan dan keagunganKu, sekiranya engkau tidak meminta kepadaKu mengutus tentera nyamuk, tentu Aku akan mengirim yang lebih halus daripada nyamuk, jika 1000 jumlahnya berkumpul menjadi satu, tidak mencapai sebesar nyamuk, tentu aku musnahkan juga mereka itu dengannya”

Kemudian Allah memerintahkan seekor nyamuk untuk menyiksa Namrud. Nyamuk tersebut telah mengelilingi sepohon pokok selama 3 hari dan setelah itu diapun masuk ke dalam kepada Namruz melalui hidungnya lalu memakan otaknya selama 40 hari. Akhirnya Namruzpun mati kerana seekor nyamuk, betapa hebatnya tentera ALLAH.......


Share/Save/Bookmark

Jenaka membawa pelbagai makna

|



Share/Save/Bookmark

Bajet Kahwin

|

Assalamualaikum...wbt.

Diciptakan manusia itu untuk meneruskan zuriat dan keturunan. Wajarlah disini Rasulullah menyuruh ummatnya berkahwin supaya kita memperbanyakkan zuriat serta keturunan manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dalam menegakkan syariah Islamiyyah. Artikel ini ditulis bertujuan untuk membuka minda dan mata pemuda pemudi yang hampir dan berniat kepada mendirikan masjid ertinya kahwin. Sudah dimaklumi bahawa hari ini, saat ini, dan ketika ini ekonomi dunia sedang berjalan dan berdetik waktunya yang semakin hari semakin meruncing teruk dan kemungkinan akan terjadi seperti tahun 1929.

Kesinambungan dari krisis ekonomi yang berlaku, sememangnya kita perlu bersedia dari sekarang dalam menempuh arus ekonomi pada mendatang. Segala aspek perlu dititik beratkan dalam persediaan untuk kita menghadapi krisis ini. Jadi artikel ini ingin saya menjuruskan kepada aspek bajet untuk sesuatu majlis perkahwinan. Ini mungkin bajet yang sedang berlaku pada tahun 2009, tidak mustahil jumlah ini akan meningkat pada masa akan datang. Saya senaraikan di bawah:-


Bajet kahwin


1. Catering ( anggaran tetamu 1000 orang) x RM5 = RM5000

2. Hantaran perkahwinan & mas kahwin = RM10,000

3. Cincin tunang dan kahwin( nak yang emas 916) = RM500

4. Baju pengantin pakej 3 pasang(tunang, akad nikah, kenduri) = RM350

5. Meja makan pengantin (skrg meja 'U') = RM400

6. Sistem PA = RM200

7. Barang-barang hantaran = RM350

8. Kad jemputan (1000 org x RM1) = RM1000

9. Juruandam = RM150

10. Bunga telur & cenderahati tetamu (1000 org x RM3) = RM3000

11. Set bilik pengantin (hiasan) tak termasuk perabot = RM500

12. Kanopi = RM500

JUMLAH = RM21,950

Ok, sudah selesai pengiraannya. Ini hanyalah anggaran bagi sebuah perkahwinan yang agak mewah. Tetapi kemungkinan yang lebih mewah lagi termasuk kos persiapan keluarga dengan suit pakaian keluarga pengantin, cat bilik dan perabot pengantin, set pelamin, makanan yang mewah dsb. Ini boleh mencecah kepada RM30,000. Saya kira kos ini mungkin bagi majlis perkahwinan di bandar-bandar. Kalau di luar bandar paling kurang kos keseluruhan saya anggarkan RM15,000.

Subhanallah! Tepuk dahi saya memikirkan perkara ini. Sebelum ini tak pernah terfikir mengenai kos perkahwinan ini. Tetapi saudara Hafiz Badarulzaman telah membuka minda saya untuk memikirkan dan memeningkan. Saya kira wajar untuk sama-sama berkongsi bagi yang belum mendirikan rumah tangga bagaimana untuk kita membuat persediaan. Bukan semua terletak di bahu ibu bapa kita yang mungkin keluarga kita dari kalangan kurang berada.

Bagi saya, segalanya kembali kepada ajaran agama kita yang melarang kepada pembaziran. Perkahwinan yang disyariatkan dalam Islam hanyalah walimatulurus yang sederhana bertujuan untuk mengkhabarkan kepada umum bahawa wujudnya pasangan yang berkahwin. Itu sahaja sebenarnya. Tidak perlu kepada majlis besar-besaran yang memakan bajet yang besar membawa kepada pembaziran. Sekadar kenduri, doa selamat itu sudah mencukupi dan yang paling penting Rasul ada bersabda dalam mafhumnya:

"Ertinya : Makanan paling buruk adalah makanan dalam walimah yang hanya mengundang orang-orang kaya saja untuk makan, sedangkan orang-orang miskin tidak diundang. Barangsiapa yang tidak menghadiri undangan walimah, maka ia durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya". (Hadits Shahih Riwayat Muslim 4:154 dan Baihaqi 7:262 dari Abu Hurairah).

Tetapi rata-rata masyarakat hari ini lebih mementingkan adat, mungkin juga mempunyai sifat ingin menunjuk-nunjuk dengan adanya majlis besar-besaran. Apa yang penting dalam sesebuah majlis perkahwinan adalah keberkatan yang kita pohon dari-Nya dengan memohon diselamatkan dan bahagia rumah tangga pasangan pengantin. Bukan wedding of the year yang kita impikan. Kalau boleh dikurangkan bajet tadi, kurangkanlah. Sekadar ingin berkongsi. Segalanya terletak kepada individu masing-masing untuk memilih dan menilainya. Jalan mana yang kita ingin pilih. Fikir-fikirkan dan renung2kan.

Share/Save/Bookmark

Kurniakan kelembutan-Mu

|


جُدْ بِلُطْفِكْ يَا إِلَهِي مَن لَهُ زَادٌ قَلِيلُ
Kurniakan dengan kelembutan-Mu wahai Tuhanku bagi sesiapa yang sedikit bekalannya

مُفْلِسٌ بِالصِّدْقِ يَأتِي عِندَ بَابِكْ يَا جَلِيلُ
Dalam keadaan muflis dia datang dengan ketulusan di sisi pintu-Mu wahai Tuhan Maha Tinggi


ذَنبُهُ ذَنبٌ عَظِيمٌ فَاغْفِرِ الذَّنبَ الْعَظِيمَ
Dosanya adalah dosa yang besar, maka ampunkanlah dosa besar tersebut

إِنَّهُ شَخْصٌ غَرِيبٌ مُذْنِبٌ عَبْدٌ ذَلِيلُ
Sesungguhnya dia itu adalah orang dagang, berdosa dan hamba yang hina


كَيْفَ حَالِي يَا إِلَهِي لَيْسَ لِي خَيْرُ اْلأَعْمَالِ؟
Bagaimanakah keadaanku wahai Tuhanku, aku tidak memiliki amalan-amalan baik?

سُوءُ أَعْمَالِي كَثِيرٌ زَادُ طَاعَاتِي قَلِيلُ
Amalan jahatku banyak sekali sedangkan bekalan ketaatanku amat sedikit

Share/Save/Bookmark

The prophet Muhammad Rasulullah S.A.W

|

Cuti Maulidur Rasul aku sempat meluangkan masa untuk mendengar ceramah di masjid Al-Hidayah di kampung sendiri. Penceramah yang dijemput ialah Dr.Muhammad Bakhir Bin Haji Abdullah. Beliau sekarang Dekan Kuliyyah Bahasa Arab di Kolej Univ. Insaniah (KUIN). Beliau pada asalnya pensyarah di Kuliyyah Bahasa Arab di UIAM. Tetapi dipanggil balik untuk berkhidmat di negeri asal bagi memantapkan lagi kuliyyah bahasa arab di KUIN. itu serba sedikit mengenai penceramah.

Yang kita nak bercerita sekarang tidak lain tidak bukan mengenai insan termulia yang diberi nama Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib. Setiap tahun kita sambut walaupun ianya bukanlah wajib dan baginda sendiri tidak pernah menyuruh kepada ummat untuk menyambut ulangtahun kelahiran baginda. Tetapi kita sebagai ummatnya bertanggungjawab melakukannya. Apa yang dapat diringkaskan dalam ceramah doktor akan aku coretkan di sini.

Tanggal 12 Rabiul Awal tahun gajah. Dinamakan tahun gajah kerana tentera bergajah Abrahah bin Ashram raja dari Yaman yang cemburu dengan kemajuan Mekah ingin meruntuhkan kaabah kerana kaabah menjadi punca ramainya manusia dari seluruh pelosok bumi datang menunaikan ibadah haji yang menyebabkan Mekah maju. Abrahah menghantar tentera bersama gajahnya yg sangat taat kepadanya menjadi ketua dalam serangan itu. Sebelum menyerang mereka bertemu dgn datuk Nabi yang pada masa itu menjadi ketua di Mekah. Kata Abdul Mutalib "إن هذا الكعبة ربي يحميها" sesungguhnya kaabah ini Tuhanku yang memelihara. Mereka tidak peduli dengan kata-kata itu dan ingin meruntuhkan juga dan dengan kuasa Allah datanglah burung ababil yang membawa batu berapi dari neraka menyerang mereka. Oleh sebab itulah Allah menurunkan surah Al-Fil bagi menceritakan kisah ini.

Keadaan sebelum kelahiran baginda diceritakan bumi menjadi tenang, makhluk Tuhan yang lain berselawat kepada baginda. Lahirnya Muhammad S.A.W di muka bumi tanpa setitik darah di badannya. Kaum kerabat baginda menyambutnya dengan gembira sehingga diceritakan pamannya Abu Lahab mengorbankan 99 ekor unta. Baginda kemudian dijaga dan disusu oleh Halimatussaadiah, orang yang bertuah dikalangan yang datang ke Mekah untuk menjadi ibu susuan baginda. Lahirnya baginda sebagai pengutus Allah untuk menyebarkan agama Islam. Baginda ulang alik dari rumah ke Gua Hira untuk mencari kebenaran yang hakiki. Siapakah penciptanya? Siapakah Tuhannya? Dan tiba masa kerasulan baginda, baginda didatangi Jibril, maka nabi terkejut dan berlari turun dari gua pada masa yang sama semua makhluk lain memberi salam kepada baginda "Assalamualaikum Ya Rasulullah", batu, kayu dan sebagainya semua memberi salam yang menyebabkan baginda berasa aneh. Sebelum ini baginda berulang alik ke situ tanpa ada yang memberi salam, tetapi selepas datangnya malaikat seluruh makhluk turut memberi salam. Ini membuktikan baginda adalah manusia terpilih yang menjadi utusan Allah yang akhir. Sifat mahmudah baginda yang patut kita contohi dari zaman kecilnya, remajanya sehinggalah dewasa sebagai suami, pemimpin keluarga, ummat khasnya yang tiada tolok bandingnya dengan sesiapa pun.

Dipendekkan cerita kehidupan baginda penuh dengan mehnah cabaran, dugaan dan berbagai rintangan dalam menegakkan kalimah Allah. Dugaan kita di zaman sekarang sekelumit cuma. Isu-isu global dan di dalam negara kita sendiri yang terpaksa berdemonstari di jalanan dek kerana pemerintah yang keterlaluan yang tidak mahukan kepada ajaran Islam. Dengan isu politik, ekonomi, pendidikan dan pelbagai cabang dan bidang menjadi agenda perbahasan sekarang. Namun, halangan yang kita tempuh ini tidaklah setanding di zaman Rasulullah dulu. Pemimpin arab jahiliyah dulu cukup menitik beratkan dalam memilih ketua mereka, nama sahaja jahiliyyah, tetapi mereka pandai dalam memilih pemimpin. Zaman sekarang kenapa susah untuk mereka terima islam? Yang batil ditegakkan, yang benar disembunyikan. Inilah tanda-tanda akan datang hari kiamat dalam waktu terdekat. Cukup banyak tanda-tanda yang kita sendiri sedang melihatnya.

Zaman sekarang rata-rata sudah celik dan pandai menilai antara baik dan buruk. Kalau ada dua golongan yang satunya memperjuangkan Islam dan satu lagi memperjuangkan kebangsaan, wajib untuk kita memilih yang memperjuangkan Islam. Kalau ada dua bank, satunya bank islam dan satu lagi bank bukan islam, maka bank islam patut kita pilih. Kalau pemimpin yang menegakkan agama Allah mengikut landasan yang betul dan pemimpin islam yang lari dari batas-batas agama, maka wajib kita menyokong pemimpin yang ingin kepada Islam. Contohnya amat jelas disini untuk kita memilih pemerintah kerajaan kita sekarang. Segalanya perlu kembali kepada Islam. Kalau kita dah tau pemimpin tu korupsi, pembunuh,perasuah,perogol dan sebagainya kenapa kita perlu angkat lagi untuk dijadikan pemimpin. Tak perlu berharap lagi kepada yang memimpin lebih 50 tahun dan perlu berharap kepada pemimpin untuk memimpin harapan baru untuk Malaysia. Baginda Rasulullah adalah contoh pemimpin agung yang wajib kita ikuti sehingga yaumul qiamah. Maulidur rasul kali ini wajarlah kita ingat kembali kepada ajaran baginda dalam memimpin dan dipimpin.

Ceramah diakhiri selepas 2 jam lebih. Doktor Bakhir begitu bersemangat dan lantang dalam menyampaikan ceramah maulid dan pandai mengaitkan dengan situasi zaman sekarang. Wallahu alam. Terima kasih kepada yang membaca.


Share/Save/Bookmark

Doa

|

Doa Memohon Rezeki Dari Setiap Penjuru





Maksudnya :"Wahai Allah limpahkanlah rahmat atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW; sebanyak aneka rupa rezeki. Wahai Zat Yang Maha Meluaskan rezeki kepada orang yang dikehendakiNya tanpa hisab. Luaskan dan banyakanlah rezekiku dari segenap setiap penjuru dan perbendaharaan rezekiMu tanpa pemberian dari makhluk, berkat kemurahanMu jua. Dan limpahkanlah pula rahmat dan salam atas nabi dan para sahabat beliau. "

Doa Memohon Keampunan


"Ya Tuhanku,! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui . Dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang-orang yang rugi". (QS. 11:47)






Share/Save/Bookmark

CIUM PIPI AYAH SEBELUM CIUMAN TERAKHIR.....

|

Cerita ini aku copy dari kawan...cuma ingin berkongsi sahaja dan ambil iktibar serta pengajaran ;-)

Ayah aku baru meninggal 5/8/2002..3.25pm. Apa yang aku tuliskan sini adalah untuk mereka yang masih lagi ada orang tersayang, untuk terus menyayangi dan berjasa sebelum menyesal. Kematian abah amat meninggalkan kesan yang mendalam apatah lagi meninggalkan mak yang keseorangan. Anak-anak semua dah besar. Kerja semua jejauh. Hidup ini seolah tiada erti....selama nie setiap suka duka.... pasti telefon dan maklumkan pada mak dan abah. Kalau naik gaji..dapat keputusan bagus dll...pasti telefon mereka supaya mereka gembira. Kalau boleh mahu terus berada di Perak menemani mak yang terus menangis. Syukur, abah mati dipelukan mak yang mengucap dua kalimah syahadah...di telinga kirinya...dan aku ketika itu mengucap ditelinga kanannya...... ini adalah kali pertama aku melihat kematian....masih terbayang....abah memandang jauh kehadapan dan mata nya ke atas.... sambil mengucap dan memejamkan mata.Sungguh cepat dan tenang...semoga roh abah ditempatkan digolongan yang beriman. Syukur sembahyang jemaah abah lebih dari seratus orang...syukur abah dikebumikan dengan selamat. Sejam sebelum kematian ....sempat berbual dengan abah. Abah kata kalau nak beli kereta tunggulah 2005. Bila time AFTA nanti kereta honda jatuh harga. Boleh lah bawak mak berjalan. Waktu tu abah dah sihat...dah selera makan. Pastu abah suruh esok pergi buat kad pengenalan baru. Sebab abah dan Mak baru ambil kelmarin. Abah kata sehari jer buat. Tak payah ambik gambar kat kedai gambar. Diorang guna digital kamera kat office jer. Tapi abah kata jangan pakai baju putih. Nanti gambar tak clear. Tapi tak sangka esok nyer aku pergi sana bukannya utk buat kad pengenalan aku, sebaliknya buat sijil kematian abah.

Apabila Izrail datang mengambil nyawa....kita tak boleh mencepat atau menganjak walau sesaat. Sampai sekarang masih terbayang keadaan abah masa tu.Tapi macam tak sangka. Abah hanya tengok atas dan tutup mata. Badan tidak bergoyang walau seinci. Abah cuma nak baring. Sambil mulut mengucap dua kalimah syahadah.

Pertama kali pergi ke rumah mayat jenazah.Pertama kali naik van jenazah, pertama kali buat sijil kematian, pertama kali tak tidur 2 hari, pertama kali asyik menangis, pertama kali menimbus kubur, pertama kali menjirus air mawar...semuanya pertama kali. Dan pertama kali juga takkan jumpa abah lagi.

Aku memandikan abah......memasangkan kain ihram sebagai kain kapan. Ketika ditutup muka abah, aku mencium dahi....pipi kanan....pipi kiri.....dan bangun....tetiba hati aku ingin terus mencium lagi...aku membongkokkan kaki dan mencium dahi nya semula.Ciuman ini adalah ciuman terakhir. Semasa kecil aku salu cium abah.Tetapi apabila dah besar sudah lama tidak mencium pipinya.Ya Allah..tuhan segala alam...aku dan abang mengangkat jenazahnya...........dan mengebumikannya. hati ini sayu mengenangkan pemergian abah yang
tercinta. Mak hanya memandang dengan air mata sayu....penglihatannya kosong......setelah 36 tahun hidup bersama abah......kini tinggal seorang.

Selaku seorang anak.....aku tahu bagaimana kasih seorang abah. Abah seorang pendiam......sabar.. dan alim....Jemaah masjid...bendahari masjid.....dan pelbagai amanah kebajikan dilakukannya. Aku selama ini tidak pernah meluahkan kasih kepada abah secara terus terang.Memang sayang abah... cuma... dengan abah saya hormat dan memendam kasih saya.....Lainnya pula dengan emak...yang sentiasa berterus terang....seringkali tidur di peha. Kelmarin aku baca dairi abah.Tak sangka abah pun tulis diari. Tiada apa yang ada dalam dairi itu melainkan perkara anak anak nya. Semuanya berkisar tentang anak-anaknya. Aku sendiri tak ingat bila aku beli kereta. Tapi abah catat..18 February..rizal beli kereta satria hijau 1.6.....abah catat setiap kali anak nya telefon beserta waktunya. Sekali tu jam 1.00 pagi aku telefon dari KL.....abah pun catat. Semuanya abah catat berkenaan anaknya. Abah catat rizal balik jam 2.00 tengahari bawa keropok. dll.......Abah catat Kak Se keguguran.....Abah catat Shaifol (abang sulung) ke KL......menangis kami semua bila baca dairi tue....

Abah sayang anaknya.....tak pernah tunjuk...sebab abah lebih suka mendiam dan tidak bercakap pasal orang.Begitu juga dengan orang lain ayah hanya banyak cakap pasal ilmu agama dan berkenaan anak-anaknya sahaja.

Ada kawan kampung abah baru nie cakap "Abah kamu masa hidup salu cakap pasal anaknye. Sorang keje sana sorang keje sini. Dia bangga ada macam korang". Tapi jauh di sudut hati aku, aku masih terkilan sebab aku salu fikir aku bukan anak yang baik. Abah memang suka tulis. Kalau fail atau dokumen pasal kereta, rumah, bil,kedai dll memang semua tersusun.. Aku terjumpa buku nota kuliah subuh abah yang terbaru.....catatan terakhir yang abah tulis "hati orang beriman sentiasa ingat kubur"...abah gariskan perkataan ingat kubur....dan kami bersyukur bahawa abah sememangnya telah bersiap sedia untuk meninggal.Dan menyerahkan kepada Allah untuk melepaskan seksaan di kubur dan api neraka.Abah memang suka budak kecik..pantang anak saper pasti dia dukung...bawak berjalan...... cucu-cucunya setiap kali balik pasti nak tidur sama. Kini semuanya tiada.

YaALLAH....aku tak tahu bagaimana kehidupan utk diteruskan tanpa Abah. Baru bercadang nak balik dan bertekad bonus tahun nie nak kasi abah seribu mak seribu... tapi Allah lebih menyayanginya...abah meninggal 5hb. Tidak sempat merasai bonus pertama anaknya yang baru masuk 10hb Ogos 2002. Kali nie tak sangka bonus banyak digunakan untuk majlis tahlil dan batu nisan untuk abah.

Tok Imam ada cakap kat kami...."kubur ayah dikorek,pastu ditanam...tanahnya masih penuh kat tepi....terlebih tandanya seorang yang pemurah....sedangkan ada sesetengah kubur dikorek pastu ditimbus semula masih tak cukup tanah." "abah kamu wajahnya senyumnyer walau pun dah meninggal" "Abah kamu waktu dimandikan dah bersih...tak der kotor najis pun takder"...perkara itulah menyedapkan hati kami....untuk jadi seperti abah....

Sembahyang Jumaat minggu sudah di Masjid.....aku memulangkan semula duit masjid dan buku akaun yang abah pegang selaku bendahari. Sambil mengira kutipan Jumaat hari itu tok imam dan bilal turut menangis...."Dulu abah kau yang tolong kira pastu tulis kat white board tu".........

Ini semua membuat aku rasa terpanggil untuk kembali ke kampung walau kerja apa sekali pun....

Ya Allah. sesungguhnya kematian ini memberi hidayah pada aku ....Talkin buat abah masih segar..."Wahai Hj Badzri Bin Hajah Habsah...ketahuilah kamu bahawa mati itu benar, kiamat itu benar, Allah itu benar" dan kita yang hidup akan pergi juga....Lelaki berat tanggungjawabnya.... suami menanggung dosa isteri dan anak-anak.....isyaAllah selaku anak-anak kami telah dibekalkan ilmu agama. Cuma aku kini telah lupa untuk mengamalkannya sejak mula bekerja setelah terlupa dgn nikmat Allah..Mak juga seorang yang dan solehah....saya yakin Allah maha pengampun dan maha bijak sana dalam menentukan Al -Mizan..

Dulu mak dan abah tiap waktu ke Masjid dekat rumah berdua....tapi sekarang nie mak kata mak takut nak ke masjid seorang diri takut tak tenang hati teringat abah. Inilah perasaan aku sekarang. Buat korang yang masih ada....jadikan iktibar..... cium pipi ayah sebelum ciuman terakhir.

Dan curahkan kasih sayang tanpa selindung.Tunjukkan!!!Bukan kepada ayah shj, tapi kedua2 org tua kita.

:::KEPADA SESIAPA YANG TINGGAL BERJAUHAN DENGAN MAK AYAH, YG JARANG2 TANYA KHABAR MAK AYAH TU BAIK TANYA SEKARANG SEBELUM TERJADI APA-APA, KITA TAK MINTA TAPI TUHAN TU MAHA MENGETAHUI...
Erm...SEKADAR MESEJ PENDEK PUN DAH CUKUP BUAT MEREKA. JGN BAGI ALASAN KITA SIBUK SAMPAI TAKDA MASA UNTUK MAK AYAH:::

renung2kan..Selamat beramal...

Share/Save/Bookmark

EMPAT GOLONGAN LELAKI DITARIK WANITA

|

Seseorang wanita itu apabila di yaumal alkhirat akan menarik empat golongan lelaki bersamanya ke dalam neraka? Na'uzubillah, artikel ini bukan untuk memperkecilkan wanita tetapi sebaliknya iaitu supaya kaum lelaki memainkan peranannya dengan hak & saksama serta berwaspada akan tanggung-jawab yang kita pikul!

PERTAMA - AYAHNYA

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat, tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.

KEDUA - SUAMINYA

Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami berdiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan ditarik oleh isterinya.

KETIGA - ABANG-ABANGNYA

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pundak abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

KEEMPAT - ANAK LELAKINYA

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, mengata, menghasut, menjadi batu api & sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, nantikan tarikan ibunya maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar dan tidak silap.

Firman ALLAH SWT:-

"HAI ANAK ADAM PELIHARALAH DIRI KAMU SERTA AHLIMU DARI API NERAKA DI MANA BAHAN BAKARNYA IALAH MANUSIA,JIN DAN BATU-BATU..."

Hai wanita, kasihlah ayah anda, suami anda,abang-abang anda serta anak-anak lelaki anda kasihanilah mereka dan diri kamu sendiri, jalankan perintah ALLAH S.W.T bersungguh dan dengan ikhlas.

Akhir kalam, marilah kita berdoa agar kita semua terselamat dari ditarik dan tertarik oleh mana-mana pihak.

Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. ALLAH S.W.T nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA, semua kaum muslim dijamin masuk syurga (sesiapa yang mengucap kalimah tauhid) dengan itu janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji dan peluang yang ALLAH S.W.T berikan pada kita.

Wallahu'alam


Share/Save/Bookmark

My Songs

Related Posts with Thumbnails

Followers