Cuti Maulidur Rasul aku sempat meluangkan masa untuk mendengar ceramah di masjid Al-Hidayah di kampung sendiri. Penceramah yang dijemput ialah Dr.Muhammad Bakhir Bin Haji Abdullah. Beliau sekarang Dekan Kuliyyah Bahasa Arab di Kolej Univ. Insaniah (KUIN). Beliau pada asalnya pensyarah di Kuliyyah Bahasa Arab di UIAM. Tetapi dipanggil balik untuk berkhidmat di negeri asal bagi memantapkan lagi kuliyyah bahasa arab di KUIN. itu serba sedikit mengenai penceramah.
Yang kita nak bercerita sekarang tidak lain tidak bukan mengenai insan termulia yang diberi nama Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib. Setiap tahun kita sambut walaupun ianya bukanlah wajib dan baginda sendiri tidak pernah menyuruh kepada ummat untuk menyambut ulangtahun kelahiran baginda. Tetapi kita sebagai ummatnya bertanggungjawab melakukannya. Apa yang dapat diringkaskan dalam ceramah doktor akan aku coretkan di sini.
Tanggal 12 Rabiul Awal tahun gajah. Dinamakan tahun gajah kerana tentera bergajah Abrahah bin Ashram raja dari Yaman yang cemburu dengan kemajuan Mekah ingin meruntuhkan kaabah kerana kaabah menjadi punca ramainya manusia dari seluruh pelosok bumi datang menunaikan ibadah haji yang menyebabkan Mekah maju. Abrahah menghantar tentera bersama gajahnya yg sangat taat kepadanya menjadi ketua dalam serangan itu. Sebelum menyerang mereka bertemu dgn datuk Nabi yang pada masa itu menjadi ketua di Mekah. Kata Abdul Mutalib "إن هذا الكعبة ربي يحميها" sesungguhnya kaabah ini Tuhanku yang memelihara. Mereka tidak peduli dengan kata-kata itu dan ingin meruntuhkan juga dan dengan kuasa Allah datanglah burung ababil yang membawa batu berapi dari neraka menyerang mereka. Oleh sebab itulah Allah menurunkan surah Al-Fil bagi menceritakan kisah ini.
Keadaan sebelum kelahiran baginda diceritakan bumi menjadi tenang, makhluk Tuhan yang lain berselawat kepada baginda. Lahirnya Muhammad S.A.W di muka bumi tanpa setitik darah di badannya. Kaum kerabat baginda menyambutnya dengan gembira sehingga diceritakan pamannya Abu Lahab mengorbankan 99 ekor unta. Baginda kemudian dijaga dan disusu oleh Halimatussaadiah, orang yang bertuah dikalangan yang datang ke Mekah untuk menjadi ibu susuan baginda. Lahirnya baginda sebagai pengutus Allah untuk menyebarkan agama Islam. Baginda ulang alik dari rumah ke Gua Hira untuk mencari kebenaran yang hakiki. Siapakah penciptanya? Siapakah Tuhannya? Dan tiba masa kerasulan baginda, baginda didatangi Jibril, maka nabi terkejut dan berlari turun dari gua pada masa yang sama semua makhluk lain memberi salam kepada baginda "Assalamualaikum Ya Rasulullah", batu, kayu dan sebagainya semua memberi salam yang menyebabkan baginda berasa aneh. Sebelum ini baginda berulang alik ke situ tanpa ada yang memberi salam, tetapi selepas datangnya malaikat seluruh makhluk turut memberi salam. Ini membuktikan baginda adalah manusia terpilih yang menjadi utusan Allah yang akhir. Sifat mahmudah baginda yang patut kita contohi dari zaman kecilnya, remajanya sehinggalah dewasa sebagai suami, pemimpin keluarga, ummat khasnya yang tiada tolok bandingnya dengan sesiapa pun.
Dipendekkan cerita kehidupan baginda penuh dengan mehnah cabaran, dugaan dan berbagai rintangan dalam menegakkan kalimah Allah. Dugaan kita di zaman sekarang sekelumit cuma. Isu-isu global dan di dalam negara kita sendiri yang terpaksa berdemonstari di jalanan dek kerana pemerintah yang keterlaluan yang tidak mahukan kepada ajaran Islam. Dengan isu politik, ekonomi, pendidikan dan pelbagai cabang dan bidang menjadi agenda perbahasan sekarang. Namun, halangan yang kita tempuh ini tidaklah setanding di zaman Rasulullah dulu. Pemimpin arab jahiliyah dulu cukup menitik beratkan dalam memilih ketua mereka, nama sahaja jahiliyyah, tetapi mereka pandai dalam memilih pemimpin. Zaman sekarang kenapa susah untuk mereka terima islam? Yang batil ditegakkan, yang benar disembunyikan. Inilah tanda-tanda akan datang hari kiamat dalam waktu terdekat. Cukup banyak tanda-tanda yang kita sendiri sedang melihatnya.
Zaman sekarang rata-rata sudah celik dan pandai menilai antara baik dan buruk. Kalau ada dua golongan yang satunya memperjuangkan Islam dan satu lagi memperjuangkan kebangsaan, wajib untuk kita memilih yang memperjuangkan Islam. Kalau ada dua bank, satunya bank islam dan satu lagi bank bukan islam, maka bank islam patut kita pilih. Kalau pemimpin yang menegakkan agama Allah mengikut landasan yang betul dan pemimpin islam yang lari dari batas-batas agama, maka wajib kita menyokong pemimpin yang ingin kepada Islam. Contohnya amat jelas disini untuk kita memilih pemerintah kerajaan kita sekarang. Segalanya perlu kembali kepada Islam. Kalau kita dah tau pemimpin tu korupsi, pembunuh,perasuah,perogol dan sebagainya kenapa kita perlu angkat lagi untuk dijadikan pemimpin. Tak perlu berharap lagi kepada yang memimpin lebih 50 tahun dan perlu berharap kepada pemimpin untuk memimpin harapan baru untuk Malaysia. Baginda Rasulullah adalah contoh pemimpin agung yang wajib kita ikuti sehingga yaumul qiamah. Maulidur rasul kali ini wajarlah kita ingat kembali kepada ajaran baginda dalam memimpin dan dipimpin.
Ceramah diakhiri selepas 2 jam lebih. Doktor Bakhir begitu bersemangat dan lantang dalam menyampaikan ceramah maulid dan pandai mengaitkan dengan situasi zaman sekarang. Wallahu alam. Terima kasih kepada yang membaca.
Antara May Day dan Mayday
10 years ago
0 comments:
Post a Comment