Sejarah Penyakit Bawaan Khinzir

|

Assalamualaikum wbt


Dunia akhir zaman hari ini sering dikaitkan dengan ancaman-ancaman kepada nyawa manusia. Terdahulu virus JE, selsema burung dan banyak lagi. Tidak habis dengan wabak chikukunya yang sedang berlaku sekarang datang pula berita yang terbaru kita dengar ‘swine flu’ atau lebih dikenali selsema babi dan virus H1N1. Gabungan daripada genetik manusia, burung dan babi. Sehingga kini sudah sampai kepada tahap ke-5. Jikalau sesuatu virus itu telah tersebar ke seluruh dunia ia diklasifikasikan sebagai tahap ke-6 yang memberi ancaman kepada seluruh penduduk bumi. Tragedi penyakit bawaan babi ini sebenarnya sudah berlaku sejak 91 tahun lebih yang lampau. Di sini saya ingin berkongsi mengenai sejarah penyakit bawaan babi ini.

Pada tahun 1918 virus Influenza telah membunuh lebih daripada 20 juta manusia di seluruh dunia. Dan ada juga yang menganggarkan lebih 40 juta yang menjadi mangsa. Antara sebabnya apabila dibuat kajian ialah kuman-kuman ini sebenarnya datang dari babi-babi di Amerika, yang menjangkiti tentera-tentera Amerika pada Perang Dunia I. Dan tentera-tentera ini seterusnya membawa wabak ini ke merata tempat di pelbagai negara di seluruh dunia.

Dikatakan jumlah kematian berlaku dalam tempoh yang singkat dan wabak ini pada ketika itu adalah antara wabak yang membawa kematian yang cukup besar jika dibandingkan dengan lain-lain wabak penyakit moden pada masa itu. Dan setelah dibuat kajian terperinci, ternyata punca wabak ini adalah daripada kuman virus yang datangnya daripada babi. (sumber: The Civil Aboliotionist, New Pig Virus Capable of Infecting Human, New York, 1998 )

Pada tahun 1957 satu wabak yang dinamakan sebagai Asian Flu dan juga wabak yang menyerang Hong Kong pada tahun 1968 adalah berkemungkinan berpunca daripada binatang ternakan, sebelum ianya menjangkiti babi. Di dalam badan babi pula, virus ini berubah kepada bentuk yang lebih berbahaya, sebelum ianya menjangkiti manusia. wabak-wabak ini telah meragut nyawa lebih 2 juta orang. (sumber: Sun 26 Mac 2000, The 1918 Flu Pandemic: What Have We Learned From This? pg 1, iafrica.com/ ) Betul ke virus boleh berubah dalam bentuk yang lebih bahaya di dalam khinzir?

Jawapan kepada soalan ini telah dijawab oleh Alex Fano, pengarang sebuah buku terkenal Lethal Laws - Animal Testing, Human Health and Environmental Policy. Beliau juga adalah Pengarah Medical Research Modernisation Committee. Di dalam buku tersebut, beliau telah mengesahkan, kuman-kuman virus daripada babi ini mampu berubah dan menjadi lebih berbahaya atau mutations, dari semasa ke semasa.


Manakala di sekitar tahun 50-an pula, kita dikejutkan dengan cacing trichina daripada babi yang menjadi penyebab kepada penyakit trichinusis. Tidak ada ubat yang boleh mennyembuhkannya pada ketika itu. Dan oleh kerana itu, satu amaran telah dikeluarkan di Amerika tentang bahaya memakan daging babi. Amaran tersebut telah dikeluarkan di Washington Post bertarikh 31 Mei 1952 dan dikeluarkan oleh Dr. Glen Shepard. [
sumber : Washington Post , 31 Mei 1952 ]

Virus-virus dari khinzir

Ternyata amaran yang dikeluarkan daripada firman Allah telah mula dapat disyukuri oleh mereka-mereka yang beriman dan mentaati perintahNya. Pelbagai kajian mula dibuat secara lebih terperinci.

Di dalam Journal of Virology 1997, dilaporkan kajian yang dilakukan oleh 12 orang pakar-pakar sains yang diketuai oleh Dr. Yoshihiro Kawaoka, dari Universiti Wisconsin. Pertemuan mereka jelas menunjukkan, pada kerongkong babi ada sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang berbahaya kepada manusia. Saintis- saintis menganggap babi sebagai mixing vessel atau 'tempat pelbagai kuman dikumpulkan untuk diubah kepada bentuk yang berbahaya'.
[sumber: The Detroit News, Scientists Discover the Infection Route Between Bird Virus and Pigs, Robert Cooke, Okt 20,1997]

Di dalam BBC News pula, pada 29 Oktober 1999, telah memfokuskan penemuan para saintis yang menunjukkan, virus babi menjadi punca berlakunya wabak-wabak yang paling teruk di dalam sejarah dunia perubatan moden pada tahun 1918. Saintis-saintis mendapati wabak-wabak yang menyerang Hong Kong pada tahun 1968 juga berpunca daripada virus babi. [
sumber: bbc.co.uk/hi/english/health/newsid_489000/489385.htm ]

Mengikut kajian itu juga, virus binatang yang biasanya tak menjangkiti manusia bertukar menjadi kuman yang berbahaya yang menjangkiti manusia, selepas memasuki sel-sel di dalam babi ini. Penemuan ini mampu memberi jawapan kepada punca empat wabak penyakit demam selsema flu yang menyerang dan membunuh jutaan manusia pada abad ke 20.


Penyakit-penyakit ini bermula dengan serangan Spanish flu pada 1918, diikuti Asian flu pada tahun 1957 dan Hong Kong flu pada 1968 dan Russian flu pada 1977. Kajian-kajian oleh saintis ini menunjukkan kuman-kuman pembunuh ini dikeluarkan oleh babi sebelum menjangkiti manusia sejagat, terutamanya pada tahun 1918.
[ sumber: Centres For Disease Control & Prevention, Pandemic Influenza, USA 2000]

Menurut Dr. Virginia Hinshaw pula, Dekan di Graduate School University Wisconsin-Madison, virus sentiasa berubah kepada bentuk lain dan babi merupakan suatu takungan yang mampu mengubah virus flu kepada bentuk yang lain dan sistem pertahanan manusia tidak mampu untuk menangkis daripada serangan-serangan ini. [
sumber: Your Health, Flu Fighters, Research for University of Wisconsin-Madison, wisc.edu/chancellor/yourworld/45.html ]


Pada bulan November 1997 pula, Dr. Robinson Weiss daripada Chester Beatty Laboratory, London mengesahkan kewujudan virus PERVS di dalam babi dan ini menyebabkan Kerajaan British mengharamkan
kesemua aktiviti pembedahan pemindahan alat/organ daripada babi kepada manusia. [sumber: Campaign for Responsible Transplantation - Press Releases 1998, New Biotech Partnership Threatens Public Health, Oct. 21 1998]

Sebelum itu pada bulan Ogos 1997 pula, saintis-saintis dari Australia telah menemui satu lagi virus dari binatang ini. Ia amat bahaya kepada manusia dan belum pernah ditemui dan dikenali sebagai virus menangle daripada kumpulan paramyxovirus. [
sumber: Mercola. com, New Pig Virus Can Infect Human, Dr. Joseph Merola, 1998].

Dan yang paling baru kita dengar virus swine flu yang bermula dengan jangkitan ke atas seorang kanak-kanak lelaki di Mexico dan wabak ini merebak terlalu cepat ke seluruh pelusuk Mexico yang sehingga kini bilangan jangkitan lebih 1124 orang dan mengakibatkan kematian meningkat kepada 26 orang.. Ini jelas membuktikan bahawa firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 173 adalah hikmah disebalik apa yang berlaku selama ini kepada manusia kerana kitab suci Allah itu adalah petunjuk kehidupan manusia. Ini bertepatanlah dengan entri-entri saya sebelum ini mengenai kenapa Allah mengharamkan khinzir ke atas kita dan termasuklah entri yang menceritakan bala Allah diturunkan kerana perbuatan manusia itu sendiri. Bumi sudah tua. Akan tiba detik akhirnya kehidupan kita di bumi. Tidak tertanggung lagi bumi dek beratnya dosa-dosa manusia sehingga Allah sering menurunkan bala kepada manusia untuk sentiasa mengingatkan kita kepadaNya dan supaya kita kembali kepada tuntutan sebenar dalam erti kata yang lain Al-Quran dan As-Sunnah dalam setiap aspek kehidupan kita.


إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya Allah Hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, Maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Baqarah-173)


Share/Save/Bookmark

0 comments:

My Songs

Related Posts with Thumbnails

Followers