Tarik balik biasiswa

|

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kelab UMNO Luar Negara meminta kerajaan menarik balik tajaan termasuk biasiswa pelajar di luar negara khususnya di Mesir yang melibatkan diri secara langsung dengan parti pembangkang.

Wakil Kelab UMNO Southampton, Wan Md. Hazlin Agyl Wan Hassan (gambar) berkata, pelajar terbabit yang bergerak melalui Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (Pemeram) kini bergiat aktif dan mendapat sambutan yang luar biasa.

Malah, jelasnya, Pemeram bertindak lebih pantas daripada pegawai-pegawai kerajaan Malaysia di Mesir yang ditugaskan untuk menjaga kebajikan penuntut lain dengan menjemput pelajar baru dari lapangan terbang bagi menarik untuk menyertai mereka (Pemeram)

''Selain itu, Pemeram juga telah bertindak melebihi batas apabila memonopoli seluruh bangunan asrama milik kerajaan Barisan Nasional (BN) di Mesir sehingga meminggirkan pelajar-pelajar yang berada di bawah naungan Kelab UMNO,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-59 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Md. Hazlin Agyl berkata, pihaknya mengesyorkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk menguruskan bahagian pemilihan dan penghantaran pelajar baru ke luar negara secara berpusat bagi memastikan tiada pihak lain yang cuba untuk mengganggu-gugat pemikiran penuntut baru.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan disaran mengambil pendekatan baru iaitu dengan mengadakan rundingan di antara kerajaan dengan kerajaan secara kerap.

Dalam pada itu, menurut beliau, pihaknya turut menunjukkan sokongan kepada kerajaan yang meneruskan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berikutan bahasa Inggeris merupakan medium perantaraan utama di seluruh dunia.

Beliau menjelaskan, sekiranya tiada penguasaan dalam bahasa Inggeris dengan baik, golongan muda dan rakyat Malaysia sukar untuk bersaing dengan bangsa lain di peringkat global.

Katanya, sebagai bukti, hampir seluruh rakyat Malaysia yang menuntut di luar negara menyatakan pandangan yang sama kerana pendedahan bahasa asing banyak membantu seseorang individu itu berdaya maju dan efektif dalam kerjaya.

"Kelab UMNO akan terus menyokong pandangan dan hasrat daripada kerajaan dan UMNO demi melakukan perubahan untuk rakyat terutamanya generasi muda," katanya.

Sumber: utusan.com.my
Share/Save/Bookmark

0 comments:

My Songs

Related Posts with Thumbnails

Followers