Saban hari kita sering mendengar cerita-cerita di media massa mahupun elektronik mengenai bencana alam. Di seluruh pelosok dunia berita mengenai kematian, peperangan, pemberontakkan, pembunuhan sudah lali dengan kehidupan kita sekarang. Pengorbanan jiwa rentetan dari peristiwa-peristiwa yang menyayat hati orang yang ditimpa dan yang melihat selalu saja terpapar di dada akhbar dan di kaca televisyen. Semuanya mengenai cerita-cerita sedih.
Persoalan yang mungkin timbul di benak fikiran kita sekarang ialah kepada siapa harus dipersalahkan? kepada siapa mereka harus mengadu? bagaimana kita perlu bertindak? Dan pelbagai persoalan lagi yang boleh kita ukirkan di akal fikiran kita. Namun begitu sampai sekarang adakah persoalan-persoalan ini terjawab?
Bagi saya persoalan ini boleh kita rungkaikan jika kehidupan kita semua berpaksikan kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Allah S.W.T telah berfirman di dalam kitabNya, Muhammad junjungan besar telah bersabda di dalam hadis baginda. Tidak perlu lagi kepada yang lain jika kehidupan kita semua kembali kepada khazanah yang ditinggalkan oleh pengutus utusan dari Rabbul ‘Ala iaitu Al-Quran dan As-sunnah.
Namun hakikatnya manusia lebih cenderung kepada akal fikiran sendiri tanpa melihat dari segenap aspek yang lain. Jadi, haruskah kita persalahkan diri sendiri? Ya, memang harus kita persalahkan kerana segala bentuk bencana, penyakit, ketidakpuasan hati dan perasaan manusia segalanya datang dari perbuatan tangan manusia itu sendiri. Firman Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41)
Maksudnya: Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan
tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian
dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).
Kita boleh ambil kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa sebagai contoh terbaru. Sebelum ini, telah berlaku kejadian seperti itu di tempat yang sama yang mengakibatkan Hill Tower runtuh menyembah bumi. Tetapi perangai manusia yang selalu tidak mengambil iktibar dari apa yang berlaku 15 tahun yang lalu masih lagi mahu berumah di situ. Jadi, akibat dari ketidaksedaran manusia itu telah mengorbankan nyawa mereka sendiri. Salah siapa? Dari perspektif islam, pernahkah kita bertanya bagaimana proses pemaju untuk mereka membina rumah banglo mewah di situ? bagaimana kehidupan harian mereka? Adakah dari sumber yang baik? Adakah kehidupan mereka berteraskan apa yang diperintah oleh pemilik alam ini? Ingat, bala Allah itu tidak mengira siapa pun mereka, golongan kaya, golongan miskin, orang Islam, bukan Islam, golongan alim ulama ataupun bukan, semuanya jika kehendak Allah itu mahu terjadi, maka tidak ada siapapun boleh menghalangnya. Itu kita bercakap tentang peristiwa tahun lepas.
Selain itu, kejadian sedih yang lain seperti pembunuhan, pemberontakan, peperangan. Bagaimana semua ini boleh berlaku jika tidak dari perbuatan tangan manusia itu sendiri. Pembunuhan di merata tempat, pemberontakan di sana sini, bom berdentum di depan rumah. Selamatkah kita dengan keadaan dunia hari ini? 60 sudah pergolakkan di bumi Palestin, masih tiada kesudahannya. Perjanjian demi perjanjian telah dirancang, tetapi akhirnya menemui jalan buntu. 27 Disember 2008 di akhir penghujung tahun hijrah 1429, sekali lagi tentera kejam Zionis dengan rasa tidak bersalah dan malu menceroboh negara Islam dengan alasan Hamas menyerang mereka. Berita terbaru hampir 500 orang telah mati syahid di bumi Gaza tempat kelahiran Imam besar Syafie. Israel dengan rasa gah tidak mempedulikan bantahan penduduk dunia sedang menyerang setiap penjuru daerah Gaza. Salah siapa semua ini terjadi? Manusia lagi? Ada kebenarannya kerana pemimpin-pemimpin negara Islam dunia dan rakyat Islam tidak bersatu melawan kekufuran yang semakin berleluasa. Akibatnya, manusia yang tidak bersalah menjadi korban. Organization Islamic Council (OIC) salah satunya organisasi orang Islam peringkat antarabangsa hanya boleh mengadakan perjumpaan bagi membincangkan permasalahan pergolakan ini. Hanya itu sahajakah tindakan yang mereka boleh lakukan? Terbaru cadangan dari Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar OIC menubuhkan tentera pengaman sendiri untuk menyelesaikan isu Palestin ini. Jadi, wajarkah? Bagi saya cadangan ini perlu dititikberatkan oleh semua persatuan Islam antarabangsa termasuk Emeritus Arab Bersatu untuk menubuhkan pengaman ini selain bantuan kemanusiaan yang lain. Rakyat biasa seperti kita apa yang boleh kita lakukan? Tepuk dada, tanya iman. Yakinlah dengan nasruminallah. Mencari harapan baru agar kesengsaraan mereka di bela. Dunia perlu sedar hak kemanusiaan di cabul. Nyawa manusia bukan hak manusia mutlak, sebaliknya hak Allah S.W.T.
Oleh yang demikian, perlu kita muhasabah kembali apa salah kita? Allah menguji kita supaya bukan kerana Dia tidak sayangkan kita. Bila hidup direntangkan ujian, itu seruan tanda kasih Tuhan, bukan Dia sengaja membebankan, bukan jua menyusahkan, jauh sekali membiarkan. Tapi kerana Dia tahu hati yang di uiji keperitanlah lebih lunak pengharapannya kepada Tuhan.
Antara May Day dan Mayday
10 years ago
0 comments:
Post a Comment