SEBAIK-BAIK KEJADIAN WANITA TERSEMBUNYI RAHSIA ALLAH YANG SANGAT BESAR.

|




Kejadian wanita amat unik berbanding dengan kajadian lelaki. Sengaja Allah SWT menjadikan wanita berbeza dengan kaum lelaki. Perbezaan ini mengandungi hikmah yang tidak dapat dibantah atau disangkal oleh pemikiran manusia.
Di sebalik kejadian wanita yang serba lemah, sebenarnya tersembunyi rahsia Allah yang amat besar, yang perlu disedari oleh setiap wanita. Jika wanita dapat meletakkan diri mereka di tempat yang sesuai dengan hakikat kejadian mereka yang serba lemah itu, wanita menjadi lebih mulia daripada lelaki serta menjadi penyeri alam. Wanita perlu terlebih dahulu memahami asal-usul kejadian serta mengenali kelemahan-kelemahan yang telah Allah SWT fitrahkan kepada mereka.
Wanita pertama yang dijadikan Allah SWT iaitu Hawa adalah hasil doa Nabi Allah Adam a.s. Beliau yang kesepian hidupnya di syurga ketika itu tiada teman untuk berbicara. Allah SWT memperkenankan doa beliau dengan menciptakan seorang wanita untuknya. Inilah secara ringkasnya kejadian wanita, makhluk yang halus kulitnya, lemah sendiri tulangnya dan berbeza pula bentuk serta susunan tubuhnya berbanding dengan lelaki.
Kaum wanita harus menerima hakikat asal kejadian mereka. Oleh kerana mereka dijadikan daripada tulang yang bengkok lagi lemah, mereka perlu kepada pimpinan yang halus tetapi tegas. Rasulullah saw bersabda lagi :
“Perempuan itu seperti tulang rusuk, jika kamu meluruskannya, bererti kamu mematahkannya. Jika kamu membiarkannya, dia akan tetap bengkok.”
Riwayat Imam Bukhari
Dalam keadaan yang lemah ini, wanita tidak mampu untuk membuat sesuatu pekerjaan kecuali dibantu dengan baik. Oleh sebab itulah Allah SWT tidak menuntut wanita melaksanakan sesuatu yang tidak termampu olehnya. Apa yang dipertanggungjawabkan ke atas wanita adalah bersesuaian dengan kekuatan fizikal dan mentalnya.
Ini boleh dilihat dari sudut ibadahnya. Walaupun Allah SWT telah mewajibkan ke atas setiap mukalaf supaya mengucapkan dua kalimah syahadah, menunaikan solat, berpuasa, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji, namun bagi kaum wanita hanya tiga perkara yang mampu dilaksanakan sendiri iaitu mengucapkan syahadah, solat dan berpuasa. Dalam melaksanakan haji sdan berzakat, mereka umumnya memerlukan bantuan kaum lelaki.
Jika dibandingkan dengan kaum lelaki daripada sudut ibadah, ternyata ibadah kaum wanita adalah sedikit. Cuma Allah SWT tidak pernah melebihkan kaum lelaki daripada segi pahalanya, seperti mana firman Allah SWT :
“Barangsiapa mengerjakan kebaikan, baik daripada lelaki mahupun perempuan, padahal dia beriman,maka pasti Kami akan beri penghidupan dengan hidup yang baik dan nescaya Kami akan beri balasan pahala atas mereka itu dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” Surah An-Nahl : 97
Wanita tidak hanya lemah pada asal kejadiannya malah pada umumnya lemah juga pada akalnya. Jika diukur nisbah antara akal dan nafsu, wanita hanya mempunyai satu akal berbanding dengan sembilan nafsu. Manakala lelaki pula mempunyai satu nafsu berbanding dengan sembilan akal. Ini jelas dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT :
“Dialah yang menciptakan kamu daripada nafsu yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya.”
Maka atas ketinggian nafsu yang terlalu berbeza dengan akal, wanita lazimnya menjadi terlalu emosional (kuat perasaan) sehingga mudah merasa sensitif dalam semua hal. Lebih-lebih lagi dalam hal yang berkaitan dengan urusannya. Oleh kerana itu, wanita perlu mendapatkan pimpinan daripada kaum lelaki yang lebih luas pemikirannya. Dengan pimpinan itu, mereka akan mendapat panduan untuk bertindak dalam sesuatu hal dan dapat manfaatkan emosinya untuk kebaikan.
“Kaum lelaki itu adalah pemimipin dan pengawal yang bertanggungjawab kepada kaum perempuan. Oleh kerana Allah SWT melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.”
Surah An-Nisa : 34
Emosi perlu bagi wanita kerana tanpa emosi, kaum wanita ditakuti bertindak liar dan merosakkan. Tanpa bimbingan, nafsu lebih banyak mempengaruhi mereka daripada akal. Namun begitu, jika emosi dipimpin dan diatur selaras dengan syariat – wanita akan menjadi makhluk yang paling cantik, unik, sensitif dengan Allah, dengan makhluk dan alam sekitarnya. Barulah mereka menjadi mutiara yang paling berharga di dunia.
Bagi memimpin emosi, wanita perlu meningkatkan ilmu dunia dan akhirat. Jika ilmu dapat dipertingkatkan, daya fikrah (akal) juga akan menjadi kuat. Apabila daya fikrah kuat, nafsu yang liar akan dapat dididik dan ditundukkan. Nafsu yang telah ditundukkan akan bertukar kepada nafsu yang tinggi martabatnya di sisi Allah iaitu sekurang-kurangnya peringkat nafsu yang paling rendah yang dapat menjamin keselamatan di akhirat kelak. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah SWT dengan firman-Nya yang bermaksud :
“Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah) kembalilah pada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.” Surah Al-Fajr : 23
satu lagi faktor yang boleh menundukkan emosi wanita secara semulajadi ialah apabila wanita melahirkan anak. Pada setiap kelahiran anak terkandung 1001 rahsia Allah SWT perlu juga diketahui sedikit sebanyak oleh wanita itu sendiri. Sakit yang dideritai ketika bersalin, selain menjadi sebab untuk menghapuskan dosa-dosa yang lalu, juga akan menurunkan emosi wanita. Jika emosi boleh dibilang, maka pada setiap kelahiran itu gugurlah satu emosi. Inilah antara sebab mengapa wanita menjadi kian matang apabila anak semakin bertambah.
Tujuan kita mendedahkan kelemahan bukanlah kerana hendak merendah-rendahkan kaum wanita, tetapi supaya mereka terus terpimpin dan sedar di garisan mana harus mereka bertapak dan berpijak. Andai kata tredapat kekurangan dari segi hak dalam syariat Islam atau di dalam sudut-sudut yang lain, sebenarnya Islam telah menggantikannya dengan kelebihan dalam sudut yang lain bersesuaian dengan fitrah semulajadinya. Terjadi kekurangan itu adalah untuk faedah atau kepentingan kaum wanita itu sendiri.
Oleh kerana kaum wanita halus perasaannya berbanding dengan kaum lelaki, maka atas dasar inilah mereka lebih sesuai berperanan sebagai pendidik anak-anak dan menguruskan keluarga. Ini kerana bidang ini memerlukan seorang pengurus yang halus emosinya, dan tabiat ini sememangnya ada pada wanita. Ianya bukanlah satu penghinaan tetapi merupan satu penghormatan daripada Allah SWT. Di situlah letaknya kemuliaan.
Oleh sebab itulah, kaum wanita mestilah berusaha menjaga maruahnya supaya tidak tercemar. Usaha menjaga maruah diri juga merupakan satu cabang daripada banyaknya cbang ibadah. Ini termasuklah menjaga tutur kata, gerak-geri, tingkah laku dan apa saja yang berkaitan dengan peribadi wanita itu sendiri. Maruah wanita adalah sesuatu yang seni, halus dan sensitif. Bagi menjaganya, bukanlah mudah kecuali dengan ilmu dan iman yang kuat.

Share/Save/Bookmark

0 comments:

My Songs

Related Posts with Thumbnails

Followers